Monday, 10 October 2011

myMetro | Minda: Memantapkan penggunaan bahasa Melayu

myMetro | Minda: Memantapkan penggunaan bahasa Melayu

Bulan Bahasa Kebangsaan

BULAN BAHASA KEBANGSAAN






Latar Belakang
Bermula dengan panggilan Minggu Bahasa Kebangsaan dana Bulan Bahasa Kebangsaan sepanjang dekad 60-an. Kempen ini telah melalui perubahan pelbagai nama seperti Gerakan Cintailah Bahasa Kita (GCBK) (1987-1996),Gerakan Bahasa Kebangsaan Sektor Swasta (GBKSS) (1996-2005) dan Minggu Sastera (1987-1998).Akhirnya pada tahun 1999, gerakan ini dinamakan Bulan Bahasa dan Sastera Negara (BBSN).
Program BBSN yang pertama telah dilancarkan pada tahun 1999 oleh YAB Dato' Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi, Timbalan Perdana Menteri Malaysia ketika itu.

Pada tahun 2009, bersesuaian dengan matlamat pelaksanaannya, BBSN telah dikenali dengan nama Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK)
Tujuan Utama
  • Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK) bertujuan untuk memantapkan, memperkukuh dan mempamerkan jati diri dan citra bangsa Malaysia.
  • Menguatkan rasa megah terhadap bahasa kebangsaan.
  • Mengeratkan dan memperkukuh perpaduan bangsa melalui bahasa kebangsaan.
  • Menyemarakkan peranan bahasa kebangsaan sebagai tonggak pembinaan negara bangsa.


Keseluruhan konsep logo menggambarkan peranan rakyat pelbagai bangsa di dalam negara bagi membentuk perpaduan di dalam konsep satu Malaysia “BBK” menjadikan tunggak kecemerlangan negara berasaskan pembangunan yang berteraskan bahasa sebagai wadah.

HURUF “B”
Huruf “B” yang direka secara grafik dan dinamik sekilas pandang berbentuk “B” bererti “Bulan” dan “Bahasa Kebangsaan” di hujung pena menjadi tunjang pada huruf “B”. Ia sinonim dengan DBP sebagai sumber ilmu dan juga dataran untuk menyampaikan dan memacukan visi dan misi DBP yang merupakan matlamat bahasa dan sastera yang akan direalisasikan oleh “B”.

BENTUK DUNIA BERPUSING DAN BENDERA MALAYSIA
“Bendera Malaysia” secara grafik terdiri daripada pelbagai warna membentuk dunia berpusing tanpa had menggambarkan arah tuju untuk mencapai matlamat masa depan “B” yang cemerlang.

Dunia berpusing menjadi latar belakang logo melambangkan tema perpaduan serta menitikberatkan cinta bahasa dan negara. Ia juga menunjukkan semua kaum yang sentiasa dipupuk dan dipastikan perpaduan, keharmonian kaum terpelihara untuk menjamin masa depan yang lebih gemilang. Ia memberi penyatuan kepada tiga bangsa utama di Malaysia, hidup penuh muafakat, bekerjasama demi memajukan negara.

Lingkaran tiga jalur merah putih pada bendera Malaysia merupakan kegiatan-kegiatan “BBK” yang meliputi pelbagai bidang ilmu dan bahasa.
DAUN RESAM DBP
Daun resam DBP yang terdapat pada logo korporat menterjemahkan bahasa menjadi bumbung logo. Ia juga sumber dalam memperkembangkan bahasa dalam era globalisasi terpusat di atas logo ini sebagai nadi utama “BBK”.

PENA DARI HURUF “B”Pena yang terletak di penghujung huruf “B” menggambarkan matlamat yang dituju dalam “BBK”. Di samping itu ia juga mencerminkan kegiatan bahasa dan sastera.


WARNA
MERAH DAN PUTIH
Merah dan putih menggambarkan semangat rakyat Malaysia untuk mencapai kegemilangan dan juga menjadi simbol wawasan satu Malaysia yang suci dan ikhlas.
KUNING
Kuning mengekalkan sistem raja berpelembagaan dan menjunjung luhur kedaulatan Negara serta menjadi simbol kegiatan “BBK” ke arah kegemilangan.

BIRUBiru bermaksud kestabilan, bersatu hati dan hidup sejahtera untuk mencapai matlamat “BBK” bersama pelbagai kaum dalam negara.

HIJAUHijau melambangkan keterampilan dan kegiatan berwibawa dalam mengembangkan bahasa yang sentiasa subur ke persada dunia.

Pereka:
Naim bin Hj. Ahmat

Monday, 3 October 2011

 Falsafah Pendidikan Kebangsaan

"Pendidikan di Malaysia adalah satu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berakhlak mulia, bertanggungjawab, berketrampilan dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara."

Falsafah pendidikan yang menjadi panduan bagi semua aktiviti pendidikan di Malaysia dekenali sebagai FPK. Dengan adanya FPK, maka sistem pendidikan negara sebenarnya menganjakkan diri ke kedudukan terkehadapan dengan mengungkapkan secara jelas prinsip dan nilai asas yang mendasari dan membentuk sistem pendidikan Malaysia daripada peringkat yang paling rendah hingga kepada peringkat tertinggi iaitu universiti. FPK menjelaskan tujuan dan matlamat pendidikan untuk individu dan negara. Kedua-dua tujuan selaras, iaitu untuk melahirkan insan yang berilmu, berakhlak mulia dan bertanggungjawab yang juga akan menjadi seorang warganegara yang baik. Pendidikan merupakan proses asas dan utama untuk pembinaan insan yang baik, seimbang dan bersepadu yang secara langsung merupakan saluran utama dan yang paling penting untuk menjayakan hasrat dan cita-cita negara.

Salah satu yang terkandung dalam FPK adalah falsafah tentang manusia yang berasaskan kepercayaan kepada Tuhan dan agama. Matlamat pendidikan adalah untuk membangunkan semua aspek diri manusia secara harmonis dan seimbang supaya kesepaduan fitrah diri manusia terpelihara. Berilmu dan berpendidikan harus menghasilkan budi pekerti yang baik dan akhlak yang mulia yang sekali gus menjadi cirri-ciri asasi seorang ahli keluarga, masyarakat dan warganegara yang baik dan terdidik.

Satu konsep asas yang terkandung dalam FPK ialah tentang ilmu, nilai ilmu dan peranan ilmu dalam pembangunan insan dan masyarakat. Nilai ilmu terletak pada kebenaran kandungan yang berfungsi bukan sahaja untuk memaklumkan dan menerangkan kepada manusia akan sesuatu, tetapi lebih penting lagi ilmu mempengaruhi, mengubah dan membentuk diri serta masyarakat manusia. Fungsi ilmu yang boleh mengubah manusia dan masyarakat inilah yang menjadikan sesuatu yang amat tinggi nilainya. Pendidkan ialah satu proses dan aktiviti sepanjang hayat dan manusia sentiasa berada dalam keadaan memerlukan perluasan, pendalaman dan pengesahan kepada ilmu yang ada. Pengalaman bukan sahaja boleh memperkaya dan mengukuhkan ilmu tetapi juga mencabar dan mengubah ilmu yang sedia ada pada manusia.

FPK juga melihat individu itu dalam beberapa lapisan pertalian atau perhubungan. Tujuan pendidikan bukan sahaja untuk pembangunan dan kesejahteraan diri individu tetapi juga untuk pembangunan dan kesejahteraan setiap lapisan hubungan individu berkenaan bermula dengan keluarga, meluas kepada masyarakat dan negara.

Berdasarkan FPK, jelas bahawa tujuan pendidikan tinggi bukan hanya setakat memperoleh segulung ijazah atau diploma, tetapi adalah untuk pembangunan diri manusia secara menyeluruh dan seimbang supaya menjadi seorang insan, ahli keluarga dan masyarakat dan warganegara yang berilmu, bertanggungjawab, berakhlak mulia, dan berbakti.
Sumber : 50 Tahun Pembangunan Pendidikan Tinggi di Malaysia (1957-2007) -Penerbit USM, 2007